بسم
الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah kerana dengan izin dan rahmat-Nya dapat juga kami, ahli-ahli dari Jabatan Fiqh
Dan Usul melaksanakan program sinaran’ 15. Program yang berlangsung selama 3
hari di SMK Wataniah, Besut ini memberi seribu makna buat diri ku. Terima kasih
yang tidak terhingga buat penyelaras program kami, Dr Anuar yang banyak
membantu kami dalam menjayakan program ini. Tanpa beliau, tentu kami akan
hilang arah dalam setiap gerak kerja yang dilakukan. Komen-komen yang membina
daripada beliau merupakan salah satu sebab program ini berjaya dijalankan.
Tidak lupa juga ucapan penghargaan dan terima kasih buat guru-guru SMKAWA yang
memberi kerjasama yang tidak berbelah bagi kepada kami dalam menjayakan program
ini.
********************************************
Pengalaman berharga buat diriku.
Program
sinaran’ 15 memberi banyak pengalaman baru buat diriku. Aku mendapat banyak ilmu baru tentang
bagaimana untuk menguruskan sesuatu program dengan baik. Selaku ajk unit
multimedia, aku mendapat banyak
ilmu-ilmu baru tentang multimedia. Kalau sebelum ini , aku tidak pernah menjadi
ajk dalam unit ini, namun ia tidak menjadi halangan untukku menjalankan amanah
yang diberikan sebaik mungkin. Mengimbau kembali kenangan semasa menjalankan
program Sinaran’ 15 di SMKAWA, aku mula menyukai tugas yang diamanahkan
kepadaku sebagai jurukamera. Ia merupakan pengalaman baru dan kenangan manis
buat diri ini. Kunukilkan ucapan terima kasih tak terhingga kepada ahli-ahli
unit multimedia yang sangat komited, sering bertolak-ansur serta sering
membantu aku dalam setiap gerak kerja yang dilakukan. Aku berasa sungguh
bersyukur kerana dapat berada di bawah satu unit dengan kalian. Maafkan diri
ini andai tersilap langkah, terlanjur
bicara, atau terguris hati sepanjang
gerak kerja yang dilakukan bersama. Banyak benda baru yang aku belajar dari
kalian. Terima kasih juga diucapkan kepada ahli-ahli dari unit lain yang
sanggup membantu kami dalam unit multimedia. Moga Allah memberkati kalian.
Amin.
Sinaran’ 15 juga melatih diriku untuk menjadi
seorang fasilitator yang baik. Melalui program ini, aku mengetahui cara
bagaimana untuk mendekati dan membiasakan diri dengan masyarakat terutamanya
remaja. Menjadi salah seorang fasilitator kepada adik-adik SMKAWA merupakan
pengalaman yang sangat mengujakan. Mereka sangat mesra, sporting, dan senang
didekati dan ini memudahkan kami selaku fasilitator program untuk berkongsi
ilmu dengan mereka. Mendekati adik-adik di SMKAWA memberi kesedaran
kepada ku betapa pentingnya kami selaku mahasiswa mendekati remaja serta
membimbing mereka ke jalan yang diredhai Ilahi. Mereka sangat polos , tidak
mengerti banyak lagi mengenai hidup ini, mereka memerlukan bimbingan dan
sokongan. Jadi, dengan adanya program jalinan masyarakat seperti program
sinaran’ 15 ini, mereka sedikit sebanyak mendapat pengetahuan dan panduan dalam
menongkah arus kehidupan yang mencabar ini. Dan aku, selaku fasilitator kepada
adik-adik di SMKAWA juga belajar banyak benda dari mereka. Semangat dan respon positif
yang ditunjuk oleh adik-adik SMKAWA sepanjang program membina semangatku untuk menjadi seorang pendakwah
yang berguna kepada masyarakat suatu hari kelak. Aku berharap perkongsian ilmu yang kami
sampaikan sepanjang program kepada adik- adik SMKAWA dapat mereka aplikasikan
dalam hidup mereka. In Sya Allah.
*********************************************
Mengenali kalian adalah satu anugerah terindah.
Segala
puji bagi Allah s.w.t kerana telah mempertemukanku dengan keluarga JFU. Diriku
berasa amat bertuah kerana aku dapat mengenali seorang penyelaras yang amat
baik. Bukan niatku untuk membodek atau mengambil hati mana-mana pihak, tapi ini
adalah nukilan yang ikhlas dari hatiku. Penyelaras kami sememangnya adalah
seorang yang sangat baik dan prihatin.
Beliau sentiasa menemani kami sepanjang program dan sedia membantu
kami tidak kira di waktu susah atau senang. . Kami warga
JFU berasa sangat beruntung mendapat penyelaras seperti beliau yang sanggup
turun padang untuk bersama-sama dengan
kami sepanjang program berlangsung. Beliau sering memberi tunjuk ajar kepada
kami. Kata-kata semangat dan komen-komen yang membina daripada beliau
menjadikan kami lagi bersemangat untuk menjalankan program sinaran’ 15 dengan
sebaik mungkin. Tiada kata yang dapat kunukilkan selain ucapan terima kasih
atas segala jasa dan kebaikan yang beliau berikan kepada kami. Moga Allah S.W.T
memberi kebahagiaan buat diri beliau di dunia dan akhirat. Amin...
Mengenali sahabat-sahabat
JFU juga adalah sebuah perkenalan yang amat bermakna. Indahnya ukhuwah yang
terbina di SMKAWA. Sedar tak sedar, program sinaran ini merapatkan ukhuwah
sesama ahli jfu. Setiap gerak kerja yang dilakukan bersama-sama sepanjang
program berlangsung membantu aku mengenali ahli-ahli jfu secara lebih rapat.
Kemanisan ukhuwah ini juga terbina antara adik-adik SMKAWA dengan fasilitator.
Walaupun kami hanya mengenali mereka dalam masa 3 hari sahaja tetapi
alhamdulillah ukhuwah dengan mereka dapat juga dibina. Singkatnya
waktu perkenalan tidak menjadi halangan untuk kami berukhwah dan mengenali satu
sama lain. Semoga ukhuwah ini menjadi ukhuwah fisabilillah, dan akan terus
berkekalan hingga jannah. Buat warga jfu, ku harap kita akan terus bersatu
dalam menyebarkan dakwah islam dan sama-samalah kita menjaga ikatan ukhuwah
yang dibina agar ia terus mekar dibawah
redha Ilahi.
Kenangan manis di SMKAWA.




No comments:
Post a Comment